Bekas calon bebas didakwa bunuh suami

SEREMBAN — Kerana desakan hidup dan tekanan kewangan, seorang wanita tergamak menikam suaminya menggunakan senjata tajam di bahagian perut dan dada sehingga mati.

Tidak dapat dibayangkan trauma yang dialami oleh kedua-dua anak perempuan mangsa yang masih mentah ketika menyaksikan perbuatan ibunya.

Kedua-dua pasangan itu berusia 55 tahun dan mempunyai empat orang anak.

Siasatan awal polis mengenalpasti kejadian tragik yang berlaku di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township berpunca daripada masalah kewangan.


Tertuduh, Lau Seck Yan didakwa membunuh suaminya, Poh Seng Hiap di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township antara pukul 3.30 petang hingga 4.30 petang pada 23 Januari.

Poh, bekas akauntan ditemukan maut di dapur rumah mereka.

Semasa pendakwaan di Mahkamah Majistret Seremban pada 28 Januari, bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018 itu tidak membuat sebarang pengakuan.

“Tapi saya tak buat,” katanya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin, seperti dilaporkan The Star.

Lau juga menangis di hadapan media sambil memberitahu dia mangsa keadaan.

Lau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Ng Kian Nam, yang mewakili Lau, kemudian meminta mahkamah menghantar tertuduh untuk penilaian psikiatri, namun Norzaliza berkata ia tidak perlu pada peringkat ini.

Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana beliau masih belum mendapat laporan bedah siasat, toksikologi dan kimia.

Norzaliza kemudian menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan seterusnya. Tertuduh juga dinafikan ikat jamin.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof dipetik dalam laporan berita sebelum ini sebagai berkata, Poh mempunyai kesan tikaman di dada dan perut.

Tambahnya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada anak perempuan mangsa berusia 18 tahun.

“Dua daripada anak pasangan itu dilaporkan menyaksikan kejadian tersebut. Siasatan awal menunjukkan motif kejadian adalah berkaitan masalah kewangan.”

Tambahnya, polis turut merampas satu objek tajam dari tempat kejadian.
Next Post Previous Post