Bekalan telur stabil tidak lama lagi

KUCHING: Ladang-ladang di Sarawak menghasilkan lebih 1.5 juta biji telur sehari dan bekalan dijangka kembali stabil di semua lokaliti di Sarawak selepas tamat cuti Tahun Baharu Cina. 


"Beberapa ladang ternakan ayam, telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti Tahun Baharu Cina (TBC) antara faktor kelewatan bekalan telur di beberapa tempat di Sarawak," kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Dato Stanley Tan.

Beliau berkata, terdapat pengusaha ladang ternakan termasuk syarikat logistik mengambil cuti lebih lama dari dua hari sempena cuti TBC dan menyumbang kepada kelewatan bekalan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit.

"Sehubungan itu, KPDNHEP Sarawak mengambil beberapa tindakan awal bagi mengenal pasti punca dan mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu kata Stanley, berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 10 syarikat mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Sarawak, dianggarkan sebanyak 1,540,000 biji telur ayam sehari telah dikeluarkan pada awal Februari lalu.

Malah tambah Stanley, seramai 173 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak dan 101 Pegawai Pemantau Harga diarahkan melakukan pemantauan dan pemeriksaan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran setiap hari.

Selain ayam dan telur katanya, barang-barang lain turut dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur ayam dan bawang.

"Justeru kementerian percaya, bekalan telur akan kembali stabil di semua lokaliti di Sarawak setelah ladang-ladang pengeluar telur ayam dan syarikat-syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP Sarawak telah mengarahkan semua peruncit memperbaharui stok yang ada di premis dan menghubungi pemborong serta pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula (re-order limit).

Kerajaan ujarnya, turut mengambil langkah intervensi melaksanakan Penentuan Harga Maksimum bermula 5 Februari hingga 5 Jun 2022 dengan dua jenis barangan telah ditentukan harga maksimum seperti ayam dan telur ayam dalam gred A, B dan C.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kerana isu bekalan yang berlaku adalah terpencil dan akan kembali seperti biasa selepas cuti TBC mengikut maklum balas diterima daripada pemain industri," tambah beliau.
Next Post Previous Post