Api musnah kegembiraan Tahun Baru
SIBU - Sambutan Tahun Baharu Cina hari ini seolah-olah tidak bererti bagi 13 orang daripada dua keluarga selepas rumah mereka hampir musnah dalam kebakaran di Taman Permy Jaya di sini, sekitar jam 1.13 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, beberapa anggota dari Sungai Merah dan Sibu Central terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran
“Setiba pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran di garaj simpanan kereta sebuah rumah jenis struktur kekal teres dua tingkat sedang marak dan merebk ke tiga lagi rumah bersebelahan.”
“Usaha memadam kebakaran segera dilakukan menggunakan dua salur bantu dan satu aliran untuk mengawal kebakaran dari luar rumah dan pemadaman secara terus ke kawasan yang terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kebakaran turut merebak ke rumah ke empat namun berjaya dikawal oleh anggota operasi keluaran BBP Sibu Sentral.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 2.05 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 3.52 pagi.
Bagaimanapun punca-punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku kerana kesemua penghuni berjaya keluar semasa kejadian.
Sementara itu rumah kedua-dua keluarga yang menyambut Tahun Baharu Cina musnah masing-masing musnah 30 peratus dan 70 peratus keseluruhan bangunan.
Manakala dua lagi rumah bersebelahan musnah 10 peratus dan lima peratus.
Menurut saksi, jiran bersebelahan memberanikan diri berusaha memadamkan api kebakaran peringkat awal kereta dengan menggunakan lima unit APA jenis debu kering namun gagal.
Kebakaran turut menyebabkan tiga buah kereta dan dua buah motosikal musnah sepenuhnya dalam kebakaran.