Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal


KUALA LUMPUR — Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar seorang penunggang motosikal di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di sini hari ini. 

Sebelum kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Azizi Azizan, 30-an, dikatakan sedang meronda bersama beberapa anggota lain dengan menunggang motosikal di lokasi sekitar tol berkenaan. 

Mangsa dikatakan mengejar penunggang motosikal itu kerana penunggang terbabit cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Motosikal mangsa terbabas dan menyebabkannya terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan Muhammad Azizi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. 

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat Muhammad Azizi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post