Anak Sarawak cipta Magic Ruler untuk tukang jahit

Nur Athirah Razali Gambar kredit Nur Athirah Razali

PUTRAJAYA— ‘Magic Ruler’ adalah pembaris pola hasil inovasi Nur ‘Athirah Razali yang mampu menyelesaikan masalah tukang jahit untuk melukis pola yang rumit dalam penghasilan pakaian.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak berusia 39 tahun itu berkata beliau mendapat ilham mencipta pembaris pola yang dinamakan 'D’Athirah Magic Ruler' pada 2016 setelah melihat anak murid dalam kelas jahitannya mengalami kesusahan untuk melukis pola jahitan.

Setakat ini, Nur ‘Athirah telah menghasilkan 15 jenis pembaris pola antaranya untuk jahitan pakaian wanita, seluar lelaki, pakaian tradisional Melayu dan pakaian kanak-kanak, dengan lebih 1,000 pembaris pola telah dijual pada harga antara RM95 hingga RM160 setiap pembaris.

Inovasi anak kelahiran Sarawak, D’Athirah Magic Ruler' yang mampu menyelesaikan masalah tukang jahit untuk melukis pola yang rumit dalam penghasilan pakaian

“Pola merupakan acuan badan seseorang untuk penghasilan pakaian dan ia memerlukan pengiraan berdasarkan beberapa formula untuk menghasilkan sesuatu pakaian yang sesuai dengan bentuk badan.

“Melalui inovasi yang ada pada pembaris ini, tukang jahit mampu menghasilkan pola dengan mudah dan tepat kerana terdapat arahan berabjad, formula sedia ada dan bahagian lengkungan berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nur ‘Athirah yang mengikuti jurusan fesyen dan membuat pakaian di sebuah sekolah teknik di Kuching, sebelum ini mempunyai akademi jahitannya sendiri di Shah Alam, Selangor yang telah melahirkan lebih 200 tukang jahit setakat ini. 

“Ramai anak murid saya juga kini mempunyai perniagaan mereka sendiri...unik di akademi saya ialah penggunaan kaedah inovasi (Magic Ruler) dalam pembelajaran untuk menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti," katanya.

Hasil inovasi itu, Nur ‘Athirah telah merangkul beberapa anugerah antaranya juara pertandingan Yayasan Inovasi Malaysia pada 2016 dan pemenang emas Anugerah Harta Intelek Negara (Rekabentuk Perindustrian) pada 2018.

Antara anugerah yang dimenangi oleh Nur Athirah

Terbaharu, inovasi beliau memenangi Pertandingan Inovasi dan Rekacipta (IRC) 2021 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Nur ‘Athirah yang turut terlibat dalam program pemerkasaan komuniti berkata inovasinya turut digunakan untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terutamanya pelajar sekolah pendidikan khas.

“Lebih 10 sekolah di sekitar ibu negara juga menggunakan ‘Magic Ruler’ sebagai bahan silibus dan ada juga pelajar ‘mild-autism’ yang menggunakan pembaris ini di sekolah,” katanya yang meminati bidang jahitan sejak berumur tujuh tahun.

Nur ‘Athirah berhasrat untuk melebarkan potensi ‘Magic Ruler’ ke pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei setelah semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di negara ini.

Menerapkan elemen mencari rezeki sambil beramal, ibu lima anak itu berpegang kepada prinsip agar perniagaannya memberi impak besar kepada komuniti, selain memudahkan cara hidup mereka.

“Saya juga bercadang untuk menggunakan tulisan Braille atas pembaris bagi membolehkan golongan OKU penglihatan mendapat manfaat melaluinya,” katanya.

Maklumat mengenai pembaris pola itu boleh didapati menerusi laman Facebook D’Athirah Magic Ruler HQ.

-- BERNAMA

Next Post Previous Post