Anak didik Josiah Ng, Muhammad Luqman harumkan nama Sarawak pada JCM Siri 1 2022


KUCHING: Anak didik bekas atlet berbasikal trek kebangsaan Josiah Ng, Muhammad Luqman Daniel Mohammad Roji berjaya mengharumkan nama Sarawak selepas berjaya meraih pingat pertama buat pasukan berbasikal Bumi Kenyalang pada Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 1 2022 di Velodrom Johor, semalam.


Muhammad Luqman pada kejohanan itu meraih pingat gangsa pada acara akhir kejar mengejar individu 4 kilometer kategori bawah 23 tahun dengan catatan masa 4:44.499 saat pada kelajuan purata 50.615 kilometer sejam (kmj).

Pengurus pasukan, Irawan Sudarsono dalam kenyataan hari ini berkata, atlet berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak berusia 19 tahun itu berada di belakang pelumba berpengalaman, Abdul Azim Aliyas dari Majlis Sukan Negara (MSN) yang mencatat masa 4:32:826 dengan kelajuan 52.781 kmj untuk muncul juara dan pelumba Sabah, Waldron Chee Wen Chun di naib juara dengan catatan masa 4:40:721 dengan kelajuan 51.296 kmj.

Muhd Luqman Daniel bersama sembilan lagi pelumba kini menyertai latihan bersama skuad berbasikal SUKMA Sarawak di Cyberjaya, Selangor.


"Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) yakin program latihan berterusan pasukan berbasikal Sarawak di bawah bimbingan ketua jurulatih yang juga bekas pelumba kebangsaan, Josiah Ng semakin menampakkan hasil dengan peningkatan prestasi pelumba.

"SCA juga mengharapkan pasukan akan terus mencapai prestasi terbaik disamping mengharapkan lebih ramai pihak swasta untuk turut sama tampil menyumbang bagi memastikan kejayaan pasukan ini serta meningkatkan lagi pencapaian sukan berbasikal Sarawak pada masa depan," katanya.


Dalam pada itu, Irawan memberitahu, SCA mengucapkan penghargaan kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta penaja antaranya Team Purpose, Hutan Ration, The Fresh Company serta Kuching Cycle Hub atas sokongan berterusan untuk memantapkan lagi pasukan berbasikal Sarawak.

Pasukan berbasikal Sarawak turut disertai seorang lagi pelumba iaitu Harrith Affan yang turut beraksi dalam kategori sama.

Penampilan kedua-dua pelumba terbabit yang turut diiringi Ketua Jurulatih, Josiah Ng dan Irawan.

Difahamkan Muhammad Luqman dan Harrith Affan yang dijadualkan turun semula ke Velodrom Johor hari ini untuk menyertai dalam acara Omnium Lelaki Bawah 23.

Bagaimanapun, penularan Covid-19 memaksa penganjur membatalkan semua acara untuk kejohanan Trek JCM Siri 1 2022, hari ini.
Next Post Previous Post