Amanah, DAP tawar Muda ditawar enam kerusi
JOHOR BAHRU— Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ditawarkan untuk bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama hari ini yang ditandatangani Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut kenyataan itu, MUDA akan bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
“DAP bersetuju memberi dua kerusi kepada MUDA untuk bertanding iaitu Machap dan Bukit Permai manakala DUN selebihnya diberikan oleh Amanah. Sementara itu, rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini,” menurut kenyataan itu.
Enam kerusi itu sebelum ini ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah Pakatan Harapan (PH).
Ketiga-tiga parti itu juga mencapai tiga matlamat utama termasuk memastikan tiada pertindihan kerusi antara calon masing-masing, selain turut bersetuju bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai Pakatan Harapan (PH)
“Pimpinan Amanah, DAP dan MUDA percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras dengan agenda Johor Bangkit agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA