Air Asia beruntung miliki staf cekal berbakti membantu Anak Sarawak dihimpit SOP PKP
KUALA LUMPUR— Tatkala negara menghadapi bencana COVID-19, tetap ada insan yang berhati mulia untuk membantu orang lain.
Insan ini bukan ahli yang berhormat, namun menggunakan kapasiti yang ada untuk membantu orang lain memerlukan.
Berpegang kepada prinsip ini, Haikal Abdullah, 24, menawarkan bantuan kepada rakyat Sarawak yang bergelut dengan masalah penerbangan sama ada pulang ke kampung halaman di Sarawak atau pergi ke Semenanjung.
Niat untuk membantu tersebut dimuat naik Haikal melalui Facebooknya;
“Anda ada masalah dengan mana-mana penerbangan jangan risau, sila pm saya. Saya akan bantu anda selesaikan masalah tersebut jika nak tukar tempah, tukar tarikh, tukar masa boleh saja pm saya.”
“Kepada semua rakyat Sarawak kalau nak balik atau nak tempah tiket, tukar tarikh boleh pm saya sedia membantu anda semua,” katanya yang menawarkan bantuan itu sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Berasal dari Sri Aman, anak muda ini sudah empat tahun bekerja dengan syarikat penerbangan Airasia di Kuala Lumpur.
Menurut Haikal, ramai anak-anak Sarawak mengadu di media sosial mengenai kesukaran
membeli tiket penerbangan, menukar tarikh dan membeli bagasi semasa PKP dan garis panduan (SOP) masuk ke Sarawak.
“Ini telah mendorong saya menawarkan bantuan kepada mereka yang tidak tahu atau tiada pengalaman mengatasi masalah tiket seperti menukar tarikh, tambah bagasi atau menempah tiket.”
“Sekarang ini semua perkhidmatan dalam talian, ada dikalangan mereka terutama warga emas tidak tahu berurusan cara talian. Tambah menyukarkan banyak peraturan dan SOP berikutan COVID-19,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Tambah Haikal, ada juga yang meminta bantuan menguruskan tiket penerbangan dengan kadar segera kerana syarikat penerbangan lazimnya mengambil masa.
Sejak tahun lepas, dia banyak menerima mesej daripada individu yang meminta pertolongan dan setakat ini maklumbalas daripada mereka amat baik.
Walapun PKP sudah berakhir, namun Haikal masih menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Haikal menambah, niatnya hanya mahu memudahkan mereka yang hendak balik ke Sarawak dan ia dilakukan tanpa mengharapkan balasan.
“Alhamdulillah, ramai yang sudah selamat sampai dan pulang. Tiada apa yang paling menggembirakan apabila menerima mesej daripada individu berkenaan memberitahu sudah selamat sampai ke kampung halaman dan berjumpa dengan ahli keluarga,” katanya.