Ahli keluarga Salvina mahu bawa pulang jasad mendiang, berangkat ke KL esok
Adik mendiang Salvina Chie, Pelubau Chie, 19, berkata, dia yang enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kakaknya dijumpai mati pada 16 Februari lalu, jam 2 petang.
"Kejadian itu disedari pekerja hotel tersebut yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis dari Balai Polis Bangunan Taman Ungku Tun Aminah," katanya dipetik menerusi laporan Utusan Borneo Online hari ini.
Jelas Pelubau, kakaknya disahkan telah meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor untuk menjalani proses siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, katanya, pada 17 Februari, dia telah menerima panggilan daripada polis agar hadir ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah Johor untuk menjalani proses pengecaman satu mayat wanita yang dipercayai kakak kandungnya
"Pada jam 3.55 petang hari tersebut, saya telah membuat pengecaman terhadap satu mayat wanita di di Bilik Mayat Sultanah Aminah Johor dan hasil proses pengecaman tersebut, saya telah mengesahkan mayat tersebut adalah kakak kandung saya," jelasnya.
Tambahnya, pihak perubatan turut memaklumkan punca kematian kakaknya adalah disebabkan lemas, namun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Oleh itu, Pelubau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kematian kakaknya itu kepada pihak polis.
"Esok (Sabtu) jam 10 pagi, kita akan berangkat ke Kuala Lumpur untuk menguruskan proses penghantaran jasad mendiang kakak saya ke Sarawak.
"Jasad mendiang dijangka tiba di kampung sama ada Sabtu atau Ahad ini," jelasnya.