747 harta intelek usahawan Sarawak didaftarkan pada 2021

Abdul Haris Lakar (tiga kiri) semasa melawat Centexs Commercial di Kuching hari ini. Hadir sama anggota perbadanan, Datu Dr. Rashidah Bolhassan dan Datuk Kamarlin Haji Ombi manakala Centexs Commercial diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Datu Dr. Sabariah Putit dan Pengurus Besar Shahren Yusri. gambar kredit MyIPO

KUCHING— Sebanyak 747 harta intelek  usahawan Sarawak telah dapat didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tahun lepas, kata Ketua Pengarah MyIPO Abdul Haris Lakar.

Beliau berkata daripada jumlah ini, 430 adalah untuk cap dagangan, 276 untuk hak cipta, 24 paten dan 17 reka bentuk perindustrian, yang sekali gus menjadikan Sarawak antara negeri paling banyak bilangan harta intelek yang berdaftar dengan MyIPO.

“Kita menjangkakan pendaftaran harta intelek dari usahawan Sarawak akan meningkat tahun ini selaras dengan fasa pemulihan COVID-19," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya harta-harta intelek yang didaftarkan ini adalah di antara 42,000 yang didaftarkan oleh MyIPO seluruh negara. 

Sementara itu beliau berkata MyIPO turut menyediakan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM4 juta untuk tempoh 2021 hingga 2025 bagi membantu usahawan membuat pembayaran untuk mendaftarkan harta intelek mereka.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post