4 penarik kereta didenda RM3,000 kerana merusuh
GEORGE TOWN— Gara-gara merusuh di atas lebuh raya, empat penarik kereta hari ini didenda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab turut memerintahkan
keempat-empat mereka dihukum penjara tiga bulan penjara sekiranya gagal
membayar denda tersebut.
Tan Cheng Hooi, 50, Y.A. Dharanidharan, 30, Lee Soon Aun,
36, dan Khoo Boo Aik, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan bersama empat lagi
yang tidak mengaku bersalah, mengambil bahagian dalam satu rusuhan dan dengan
sengaja telah merusuh menggunakan topi keledar, rantai besi dan mangga di
Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada jam 2.13 petang 26 Jan lepas.
Kesemua lapan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad
Nazri Abdul Rahim dan keempat tertuduh yang mengaku salah diwakili peguam
Kenzaly Goik manakala mereka yang tidak mengaku bersalah S. Surendren, 27, N.
Lekkeswaran, 27, Muhammad Zhafar Megat Zabil, 22, dan Muhammad Faiez Ahmad, 21,
di wakili peguam Malkit Kaur dan Dilsimran Kaur.
Nur Melati Diana membenarkan jaminan masing-masing RM2,500
dengan seorang penjamin kepada keempat-empat tertuduh dan menetapkan 11 Mac
untuk sebutan semula kes.
Pada 26 Jan lepas, video rakaman orang awam mengenai
pergaduhan sekumpulan lelaki di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini telah
tular di media sosial yang punca pergaduhan itu dipercayai berkaitan urusan
menarik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori
membawa muatan mozek dan dua kenderaan lain di situ.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, enam individu turut
didakwa atas kesalahan bergaduh sesama mereka sehingga mengganggu
ketenteraman awam di tempat awam pada 1 Feb lepas.
Muhammad Ridzuan Rawther, 33, Rais Ahmad Mohamud Hussain,
38, Anwar Ibrahim Noorkan, 39, Jamil Kader Gani, 36, Mohamad Khrom Mohamad
Salam, 32, dan Ridzuan Mohamad Salam, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mereka telah dituduh secara bersama melakukan "gaduh gempar"
sehingga mengganggu ketenteraman awam di Kedai Astaka Medan Renong, Padang Kota
Lama pada 11.40 malam, 1 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau
didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Kesemua mereka diwakili peguam Anil Singh Khera
manakala pendakwaan dikendalikan Mohammad Nazri.
Nur Melati Diana membenarkan ke semua tertuduh diikat jamin
RM2,000 setiap orang dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac untuk
sebutan semula.
Pada 2 Feb lepas, video berdurasi 44 saat telah tular dalam
media sosial memaparkan dua kumpulan individu bergaduh di Medan Selera Padang
Kota Lama sehingga menyebabkan pelanggan yang sedang menikmati makanan bangun
dari situ berikutan bimbang dengan keselamatan mereka.
-- BERNAMA