25 individu ditahan kes jual sijil vaksin palsu



KUALA LUMPUR— Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini telah menahan 25 individu kerana disyaki terlibat dengan penipuan penjualan sijil vaksin palsu.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata penahanan individu berkenaan adalah hasil pengesanan sembilan kes di seluruh negara.

Beliau berkata mereka yang ditahan membabitkan masing-masing tiga doktor dan jururawat, tujuh ejen, seorang staf klinik serta 11 orang awam.

 

"Kes terbaharu adalah di Sabah yang mana staf (klinik) membuat laporan terhadap seorang doktor (didakwa) melakukan penipuan terhadap sijil vaksin di Kinarut, Sabah," katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini.

 

Menurut Mohd Kamarudin, laporan tersebut dibuat oleh staf klinik pada 4 Feb (Jumaat) lepas dan doktor berusia 37 tahun yang juga seorrang daripada 25 suspek telah ditahan pada 7 Feb (Isnin) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

"Siasatan hampir selesai. Kami akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan dan arahan selanjutnya,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post