20,939 kes direkodkan hari ini


KUALA LUMPUR— Kes baharu COVID-19 negara terus meningkat dengan sebanyak 20,939 kes direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes kepada 2,996,361, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melepasi paras 20,000 adalah pada 10 Sept tahun lepas dengan 21,176 kes.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah berkenaan, 99.44 peratus atau 20,821 kes dalam kategori satu dan dua manakala 118 kes lagi atau 0.56 peratus berada dalam kategori tiga, empat dan lima. 

"Kategori satu adalah sebanyak 5,181 kes atau 24.74 peratus; kategori dua,15,640 kes (74.7 peratus); kategori tiga, 95 kes (0.45 peratus); kategori empat,13 kes (0.06 peratus) dan kategori lima,10 kes (0.05 peratus)," katanya.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, kategori tiga melibatkan jangkitan paru-paru, kategori empat membabitkan jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori lima adalah kritikal, organ rosak serta memerlukan bantuan ventilator.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post