20 tahun bayar pinjaman rumah tetapi baki masih dua pertiga dari jumlah pinjaman


KUCHING: Sepasang suami isteri terkejut setelah mendapati hutang pinjaman rumah mereka masih berbaki dua pertiga dari jumlah yang dihutang meskipun telah 20 tahun membayarnya.

Masalah pasangan yang telah bersara masing-masing berusia 68 dan 63 tahun itu mendapat perhatian Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen.

"Selepas membayar 20 tahun, baki pinjaman berjumlah RM80, 000 yang mana sepanjang tempoh itu hanya satu pertiga sahaja daripada jumlah pinjaman telah dibayar dan masih berbaki dua pertiga.

"Ini mengejutkan dan menyulitkan pasangan tersebut selepas mereka mendapati sepanjang tempoh 20 tahun membayar pinjaman rumah mereka baki pinjaman masih banyak," kata Chong dalam kenyataan semalam.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu, pasangan terbabit membuat pinjaman rumah pada 2000 berjumlah RM125, 000 dengan sebuah bank.

Katanya, di bawah perjanjian pinjaman bank terbabit, tempoh bayaran adalah 240 bulan iaitu bersamaan 20 tahun.

Sepanjang tempoh 21 tahun iaitu dari 2000 hingga 2021, beliau memberitahu pasangan itu telah membayar balik ansuran bulanan dengan patuh kepada bank walaupun terdapat beberapa kali pembayaran tertunda yang jarang berlaku selama ini, mereka telah menebus pembayaran yang tertunda.

"Pada 2021, pasangan pesara berjumpa dengan bank terbabit dengan niat untuk membuat menyelesaikan sepenuhnya baki pinjaman tersebut," ujarnya.

Chong menambah, pasangan tersebut pada 31 Disember 2020 dimaklumkan baki pinjaman rumah mereka adalah RM80,362.17.

Bagi mengetahui kes itu, Chong tampil ke bank terbabit untuk membincangkan masalah yang dihadapi pasangan tersebut.

"Saya juga telah menulis surat kepada bank tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengapa pinjaman mereka masih mempunyai baki pinjaman dua pertiga dari jumlah keseluruhan pinjaman.

"Semasa perbincangan kami dengan pengurus Bank, telah didedahkan bahawa terdapat beberapa variasi faedah oleh Bank akibatnya, sebahagian besar pembayaran balik mereka adalah terutamanya untuk faedah yang dikenakan.

"Walaupun begitu, tidak mungkin terdapat perbezaan yang begitu besar dalam jumlah tertunggak.

"Saya juga telah meminta campur tangan Bank Negara Malaysia untuk memastikan keadilan ditegakkan kepada pasangan itu," tegasnya.
Next Post Previous Post