19,090 kes baharu Covid-19
KUALA LUMPUR—Kes baharu COVID-19 dalam negara hari ini melonjak kepada 19,090 kes berbanding 17,134 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,975, 422, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19
melepasi paras 19,000 adalah pada 15 Sept tahun lepas dengan 19,495 kes.
Menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor
Hisham berkata 99.41 peratus atau 18,977 daripada jumlah kes baharu itu
adalah dalam kategori satu dan dua, manakala 113 kes lagi atau 0.59 peratus
berada dalam kategori tiga, empat serta lima.
Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak
mempunyai gejala dan bergejala ringan, kategori tiga melibatkan jangkitan
paru-paru, kategori empat membabitkan jangkitan paru-paru dan memerlukan
oksigen, manakala kategori lima adalah kritikal, organ rosak serta
memerlukan bantuan ventilator.
Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara, Dr Noor Hisham
berkata ia berada pada paras 1.47 semalam dengan Labuan merekodkan nilai
tertinggi iaitu 1.94 diikuti Sarawak (1.84), Sabah (1.73) dan Perlis (1.67).
Sementara itu Dr Noor Hisham dalam kenyataan harian
mengenai perkembangan COVID-19 dalam negara memaklumkan daripada 19,090
kes baharu hari ini, 134 adalah kes import dan 18,956 kes tempatan,
manakala 158 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 78 memerlukan
bantuan pernafasan.
Menurutnya 5,712 kes sembuh direkodkan, menjadikan
kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 2,835,464.
Selain itu, 14 kluster baharu dikenal pasti dengan
395 kluster yang masih aktif setakat ini.
“Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan
penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di
https://covidnow.moh.gov.my,” katanya.
-- BERNAMA