Zahid diarah bela diri 47 pertuduhan


KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, untuk membela diri atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan perkara itu selepas berpendapat wujud prima facie berhubung kes itu.

“Mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.”

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh untuk membela diri,” kata Sequerah seperti dilaporkan Berita Harian.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan tarikh pada Mac, April, Mei dan Jun untuk prosiding membela diri.

Tarikh itu ialah 28 hingga 31 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei dan 27 hingga 30 Jun.

Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 19 Mac tahun lalu dan pada 6 Disember tahun yang sama, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan.
Next Post Previous Post