YB janji beri bot besar untuk murid SK Mangkapan

KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapan, Pitas dari Kampung Pituru yang sebelum ini berhimpit-himpit dalam bot kecil sehingga tular di media sosial bakal menggunakan bot yang lebih besar untuk ke sekolah.

Berita gembira itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Harun Durabi semasa lawatan ke jeti pangkalan SK Mangkapan semalam.
“Pejabat ADUN Bengkoka menyediakan peruntukan untuk membeli bot yang lebih besar bagi menggantikan bot kecil yang digunakan ketika ini. Malah jaket keselamatan telah disediakan oleh pihak Pejabat Daerah Pitas,” katanya dalam satu kenyataan.

Harun menambah, beliau turut berjumpa dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mangkapan untuk memaklumkan kemudahan dan kelengkapan yang disediakan kepada murid-murid.

“Saya dimaklumkan terdapat kira-kira 29 murid SK Mangkapan dari Kampung Pituru berulang-alik ke sekolah. Dengan adanya kemudahan dan kelengkapan yang disediakan, ia dapat menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular dalam media sosial sekumpulan murid dari Kampung Pituru, Pitas berhimpit-himpit dalam sebuah bot tanpa memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah.

Kebanyakkan kawasan perkampungan di Bengkoka bergantung dengan pengangkutan sungai kerana tiada jalan darat.
Next Post Previous Post