Tun Salahuddin meninggal dunia
KUCHING: Mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, menghembuskan nafas terakhir malam tadi.
Tun Salahuddin, 100, meninggal dunia pada jam 11.47 malam di Pusat Perubatan Normah di sini akibat sakit tua, seperti dilaporkan oleh Bernama.
Allahyarham yang lahir pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.
Sebelum itu pada 2000, Tun Salahuddin menjadi pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak berikutan penyandang jawatan itu Tun Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.
Beliau kemudian dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 selepas Tun Ahmad Zaidi meninggal dunia pada Disember 2000.
Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.