Taukeh kalah judi RM21 juta saman kasino Britain
Pengarah bukan eksekutif Yinson Lim Han Joeh menyaman sebuah kelab perjudian terbesar di Britain kerana membenarkannya berjudi selama 72 jam tanpa rehat yang mencukupi.
Dalam saman yang difailkan, Lim mendakwa kasino itu melanggar Akta Perjudian UK 2005, yang menyatakan “individu yang tidak berdaya harus dilindungi daripada dieksploitasi dalam perjudian”.
Katanya, kasino telah mengambil kesempatan daripada keadaan beliau yang tertekan ketika bergelut dalam percubaannya memenangi semula kekalahannya dengan memberikan lebih banyak wang dan tempoh masa untuk berjudi, petik MalaysiaNow.
“Pemohon mengalami kekalahan berturut-turut dan kelihatan terdesak dan panik. Namun Aspinalls tidak memaksa pihak pemohon berhenti dan berehat, sebaliknya kasino itu meningkatkan hutangnya kepada £2 juta (RM11.23 juta).”
Saman difailkan Lim berkait kredit hampir RM22 juta yang diberikan kepadanya oleh Kasino Aspinalls milik Mayfair semasa sesi 72 jam permainan kad pada 2015.
Tindakan undang-undang itu dibuat selepas Lim kalah dalam kes mahkamah yang dibawa oleh Aspinall’s Club yang telah berusaha untuk menuntut pinjaman yang telah diberikan kepadanya.
Menurut keputusan mahkamah UK mengenai pertikaian itu, insiden perjudian tersebut berlaku pada Oktober 2015. Lim menjadi ahli Kelab Aspinall pada Jan 2014.
Empat tahun selepas itu, Lim yang kalah dalam permainan dan kes mahkamah menyaman kasino itu sebanyak RM21.9 juta.
Lim merupakan ahli lembaga pengarah Yinson yang turut dianggotai salah seorang pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC) Gooi Hoe Soon dan Sharifah Munira Syed Zaid, anak perempuan kepada pengerusi SC ketika ini.