Simon berjasa kepada Sarawak

KUCHING: Pemergiab bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Simon Dembab Maja disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau banyak menyumbang kepada kekuatan negeri ini dan akan sentiasa diingati sebagai anak Sarawak yang banyak berjasa.

“Mendiang telah menyumbang kepada kekuatan dan kestabilan politik Sarawak pada tahun 70an. Pemergian mendiang satu kehilangan kepada seluruh rakyat,” katanya semasa memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Tabuan Jaya, hari ini.
Mendiang Datuk Simon Dembab Maja adalah Timbalan Ketua Menteri selepas kita menang Pilihan Raya pada 1970 yang diketuai Tun  Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Abang Johari berkata,  pelantikan mendiang Simon sebagai anggota Kabinet negeri  telah menstabilkan kerajaan yang ditubuhkan pada waktu itu.

'Mendiang adalah pengasas  Kerajaan Campuran Sarawak yang kemudian membentuk Barisan Nasional (BN) pada tahun 1970. Selepas itu Sarawak mempunyai satu keadaan politik yang agak baik, hingga ke hari ini,” katanya.

Hadir bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Mendiang antara pengasas awal  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggal dunia pada Sabtu (22 Januari 2022) di pusat perubatan swasta di sini pada usia 85 tahun.

Anak mendiang, Jimmy Maja dalam The Borneo Post berkata, ayahnya menjawat jawatan timbalan ketua menteri di bawah Kerajaan Campuran Sarawak (Sarawak Coalition Government) pada 1970.

Katanya, hasil pilihan raya umum pertama di Sarawak, kerajaan negeri dikenali Kerajaan Campuran Sarawak yang terdiri daripada Parti Bumiputera, Parti Pesaka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). 

"Beliau dari Parti Pesaka, ketika kali pertama bertanding pada pilihan raya Sarawak yang pertama pada 1970. Kemudian Parti Pesaka bergabung dengan Parti Bumiputera untuk membentuk PBB hari ini,” katanya.

Jimmy menambah pada 1972, mendiang Simon ditempatkan di Sydney, Australia sebagai konsulat pelajar di Konsulat Malaysia di sana.

Mendiang yang berasal dari Engkilili memulakan persekolahan di Sekolah Chung Hua di Kuching pada tahun 1950an sebelum melanjutkan pelajaran di di Sekolah St Thomas, Kuching. 

Beliau boleh menulis dan membaca dengan baik dalam Mandarin, selain fasih bertutur berturut Khek/Hakka, Hokkien dan Teochew.

"Mungkin beliau Iban pertama belajar di sekolah tinggi Mandarin sebelum melanjutkan pengajian di peringkat universiti pada tahun 1950an," katanya.

Mendiang meninggalkan isteri Datin Rosalind Sitie Jemeni, tiga anak, tiga cucu dan dua cicit.

Selesai upacara di Tabuan Jaya hari ini, mendiang akan dibawa ke Engkilili bagi membolehkan upacara memberi penghormatan terakhir diadakan di sana sebelum dikebumikan.


Next Post Previous Post