Setengah juta rakyat Sarawak belum dapat dos penggalak - Dr Sim

Vaksin Pfizer tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tengah hari tadi
KUCHING - Seramai 468,904 penduduk di negeri ini belum menerima suntikan dos penggalak walaupun layak berbuat demikian.

Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, orang ramai tidak harus memandang remeh Omicron dengan menganggap varian COVID-19 itu hanya mendatangkan gejala ringan.


“Setakat 10 Jan ini, seramai 468,904 penduduk Sarawak belum mendapatkan suntikan walaupun layak berbuat demikian.”

“Walaupun Omicron kurang berisiko berbanding varian sebelumnya namun ia mudah menular dan boleh menjejaskan sistem kesihatan di negeri ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dr Sim yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) turut berkongsi gambar sejumlah 87,750 dos vaksin Pfizer yang telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada tengah hari tadi.


Beliau menyeru rakyat di negeri ini memainkan peranan masing-masing dengan mendapatkan dos penggalak Pfizer BioNTech atau Sinovac sebelum penyebaran Omicron.

“Kita harus bekerjasama dalam memerangi Omicron di negeri ini,” tegasnya.
Next Post Previous Post