Seorang pekerja resort cedera di muka akibat letupan klorin


LUNDU: Seorang pekerja Retreat Resort di sini cedera setelah berlaku letupan kecil di kawasan berkenaan semasa kerja pembersihan kolam renang dijalankan, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 9.16 pagi sebelum menggerakkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi.

Setibanya pasukan di tempat kejadian, Komander Operasi mengesahkan berlakunya letupan melibatkan klorin semasa kerja-kerja pembersihan di kolam renang dijalankan. 


"Seorang pekerja bagaimanapun mengalami cedera di bahagian muka akibat letupan berkenaan. Mangsa iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun telah dihantar ke hospital oleh pekerja resort untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pembersihan dan memastikan keadaan di lokasi selamat sebelum bergerak balik ke balai.
Next Post Previous Post