Seorang lagi saspek baling batu dicekup

BINTULU: Seorang lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan kes baling batu cermin kereta sehingga mangsa menerima lima jahitan di bahagian kepala di Jalan Tun Ahmad Zaidi awal bulan ini.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan jenayah, IbuPejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada jam 3.30 petang Selasa di sebuah rumah di Kampung Assyakirin.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili, berkata turut dirampas sehelai baju, sehelai seluar dan sepasang selipar dipercayai dipakai suspek semasa kejadian.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis percaya kes tular ini berjaya diselesaikan.”

"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu pada jam 9 pagi hari ini (19 Januari) dan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 2 Jan sekitar jam 2.30 petang di Jalan Tun Ahmad Zaidi, semasa memandu pengadu memberitahu cermin kereta hadapan tiba-tiba dibaling menggunakan objek keras disyaki batu oleh individu yang tidak dikenali.

Batu tersebut menembusi cermin sehingga terkena kepala mangsa menyebabkan mangsa dibawa ke hospital dan menerima lima jahitan di bahagian kepala.

Rakaman dari kamera video papan pemuka kereta pengadu mengenai kejadian tersebut telah tular di media sosial dan pihak polis terus memulakan siasatan.

Next Post Previous Post