Segedup dan Sungai Maong dibangunkan

Abang Johari semasa berucap pada majlis makan malam penghargaan dan kesyukuran jentera PRN12 DUN Satok - Gambar Ihsan Media Satok

KUCHING — Kawasan antara Kampung Segedup dan Sungai Maong bakal dibangunkan dengan skim perumahan baharu yang dilengkapi dengan kemudahan jalan raya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, fasa pertama skim perumahan ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survey melibatkan pembinaan 600 unit rumah.

“Skim perumahan ini akan memanfaatkan generasi kedua di kawasan itu. Manakala pembinaan jalan baharu akan memendekkan jarak antara Satok dan Kampung Segedup,” katanya berucap pada majlis makan malam kesyukuran dan penghargaan jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) untuk kawasan Satok di sebuah hotel pada Sabtu.

 
Hadir sama Menteri Kanan kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki.

Ketua Menteri menambah, kerajaan akan mengumumkan polisi baharu dalam masa terdekat.

Katanya, polisi itu dijangka  akan memanfaatkan semua rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang mereka.

Mengenai pembangunan di Satok, beliau berjanji akan terus mengambil berat kawasan itu walaupun bukan lagi ADUN Satok.

“Sebagai ketua menteri, menjadi tanggungjawab saya memastikan pembangunan di negeri ini dilaksanakan secara adil dan saksama.”

“Sehubungan itu saya berharap ADUN yang diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin negeri ini menjalankan tanggungjawab dengan berhemah,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada warga Satok atas sokongan dan dorongan sepanjang beliau menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Majlis tersebut dianjurkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok bagi menghargai jentera parti semasa PRN12 yang lepas.

Next Post Previous Post