SDMC benarkan Tarian Singa


KUCHING: Selepas berehat hampir dua tahun, tarian singa dibenarkan beraksi semasa perayaan Tahun Baru Cina (TBC) pada 1 Februari dan Chap Goh 15 Februari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, namun kebenaran ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) TBC 2022.

“Antara syarat ialah penari telah lengkap divaksinasi termasuk dos penggalak dan melakukan ujian kendiri COVID-19 sekali setiap hari sebelum persembahan.”

“Selain itu, ahli pasukan tidak melebihi 12 orang dengan maksimum dua ekor singa sahaja pada satu masa,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, peserta harus mengemaskini status MySejahtera setiap hari manakala ahli yang bergejala atau mempunyai kontak rapat tidak dibenarkan menyertai tarian.

Kenyataan itu menambah, aktiviti tarian singa ini dibenarkan selama empat hari mulai 1 hingga 4 Februari mulai jam 6.00 pagi hingga 6 petang. 

Manakala untuk sambutan Chap Goh Mei, tarian singa dibenarkan sehari sahaja iaitu pada 15 Februari dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam. 

“Persembahan hanya dibenarkan di kawasan luar rumah, rumah ibadat dan premis serta tertakluk kepada penganjur/pemilik rumah atau premis."

"Mereka bertanggungjawab untuk memastikan ahli pasukan tarian singa mematuhi SOP yang telah digariskan."

Sanitasi perlu dibuat selepas persembahan selesai selain menyediakan kod imbasan MySejahtera atau buku kehadiran.

Jamuan makan bersama ahli keluarga terdekat sahaja di rumah, hotel atau restoran dibenarkan dengan kehadiran 50 peratus kapasiti mengikut saiz tempat. 

JPBNS membenarkan acara sambutan pada hari pertama dan kedua untuk ahli keluarga sahaja tanpa rumah terbuka.

Sementara itu Sarawak mencatat tujuh kes baru iaitu di Subis (3), Kuching (2) dan masing-masing satu di Sarikei dan Sibu.

Kes melibatkan kategori satu tidak bergejala.
Next Post Previous Post