Sarawak mahu lancar BKSS 8.0

KUCHING: Kerajaan negeri mengumumkan akan melancarkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang bernilai RM285.47 juta dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pakej merangkumi enam bulan pertama tahun ini bertujuan mengurangkan beban rakyat akibat COVID-19.

“Saya akan melancarkan pakej BKSS 8.0 yang melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai dalam masa terdekat untuk enam bulan pertama 2022,” katanya ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak  di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Ketua Menteri menambah, sepanjang tahun 2020 dan 2021 Sarawak telah melaksanakan tujuh pakej bantuan kepada rakyat iaitu iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan 30 program. 

"Inisiatif ini secara keseluruhannya telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5.30 bilion.”

“Ia merupakan antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di Malaysia dan ia tidak termasuk peruntukan khas melebihi RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi menampung perbelanjaan menangani pandemik COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Beliau menambah kerajaan akur dengan beban dan kesulitan yang dihadapi rakyat sepanjang tempoh pandemik.

Tambah beliau, Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya dan seluruh rakan-rakan Kabinet, juga dengan kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan, sentiasa memberi keutamaan kepada usaha untuk melindungi keselamatan dengan kesejahteraan rakyat kita. 

“GPS adalah kerajaan yang dipercayai dan boleh dipercayai, berkhidmat penuh semangat, berdedikasi dan komited untuk kepentingan rakyat semasa pandemik atau tidak, seiring moto 'An Honour to Serve!," katanya.

Beliau mengambil contoh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang bekerja sepanjang masa untuk memastikan keselamatan rakyat.

“Kita telah belajar dari pandemik COVID-19 bahawa tiada masyarakat boleh bertahan tanpa perkhidmatan daripada kerajaan yang boleh dipercayai, berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Next Post Previous Post