Sampan masih sarat, KPM beri jaket sahaja


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan sudah memberikan bantuan jaket keselamatan kepada murid-murid SK Mangkapon, Pitas.

Bantuan itu adalah susulan foto yang menunjukkan murid-murid dari Kampung Pituru berhimpit-himpit dalam sebuah perahu kecil untuk kesekolah tanpa menggunakan jaket keselamatan yang tular di media sosial.

Suara Sabah News menerusi hantaran di Facebook berkata, bantuan itu disalurkan oleh kementerian dengan kerjasama Armada Bersatu Kudat.

Menerusi hantaran Facebook milik a korn korn yang, sudah lebih setahun mereka dalam keadaan begini namun tiada tindakan daripada pihak berwajib.

“Tolonglah mana-mana pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menyumbangkan bot yang lebih besar dan jaket keselamatan.”


“Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur baru bertindak,” katanya sambil menambah beliau terpaksa memunggah foto itu untuk diambil perhatian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka Harun Durabi Harun yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar akan mendapatkan peruntukan untuk menyediakan bot yang lebih besar.

“Saya sedang berusaha mendapatkan peruntukan untuk membeli bot yang lebih besar untuk kegunaan penduduk di kampung itu.”

“Selain itu, saya akan dapatkan jumlah murid-murid untuk bantuan jaket keselamatan. Saya akan melawat mereka ,” katanya seperti dipetik oleh The Borneo Post, Jumaat.

Ujar beliau, pengangkutan sungai merupakan cara utama penduduk di situ bergerak ke kawasan lain sejak sekian lama.

Katanya, kebanyakan kampung di konstituensi beliau terletak di tepi sungai dan tidak mempunyai akses dengan  jalan darat.

Next Post Previous Post