Rumah panjang ranap terbakar


BINTANGOR: Seramai 77 penduduk Rumah Panjang (Rh) Rangsa Ak Jimat tinggal sehelai sepinggang selepas 17 pintu rumah panjang di Ng Meluan, Julau di sini musnah terbakar awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu dipercayai bermula dari bilik Nombor Enam sebelum api merebak dengan cepat dan memusnahkan beberapa lagi bilik yang lain.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.05 pagi dan menggerakan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi. 

Katanya, disebabkan jarak ke lokasi kira-kura 60 kilometer (km) daripada balai, pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, Komander Operasi, PPgB Nicholas Belulin mengesahkan kejadian kebakaran melibatkan rumah panjang yang mempunyai 17 pintu telah musnah sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PGO, pasukan bomba seterusnya melakukan operasi pemadaman api menggunakan pam angkut yang dipasangkan pada jarak 100 meter dari lokasi kebakaran melalui kolam ikan berdekatan.

PGO menambah, difahamkan penghuni rumah panjang tersebut telah cuba memadam kebakaran menggunakan Alat Pemadam Api (APA) namun tidak berjaya kerana api merebak dengan cepat. 

Kebakaran katanya, dipercayai bermula dari bilik Nombor Enam seterusnya merebak ke kiri dan kanan bilik sehingga meranapkan keseluruhan rumah berkenaan. 

"Kebakaran turut mengakibatkan sebuah kereta jenis Proton saga musnah apabila tidak sempat dipindahkan ke lokasi selamat," jelasnya.

Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa manakala punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian dan diselamatkan masih dalam siasatan.


Next Post Previous Post