Ramai nelayan tercicir bantuan

PUSA: Kerajaan harus adil dan telus dalam melaksanakan sebarang bentuk bantuan untuk memastikan anggapan serong masyarakat pihak yang tercicir dalam menerima bantuan.

ADUN Beting Maro, Razaili Gapor berpendapat agensi terlibat perlu melihat keperluan dan kelayakan yang khusus berbanding meminta sebarang bukti yang mungkin boleh diselaraskan sebagai faktor penyebab kelulusan atau kegagalan bantuan.

Jelasnya, kerajaan telah menyediakan bantuan kepada nelayan yang layak, namun isu yang ditimbulkan ada kalangan nelayan sepenuh masa yang dikenal pasti tetapi tidak layak menerima bantuan seperti yang diharapkan.

"Difahamkan ada kalangan nelayan tercicir daripada menikmati bantuan kerajaan dengan alasan tiada lesen vesel atau sedang  dalam proses menunggu kelulusan selain beralasan menunggu permohonan baharu.

"Disebabkan itu mereka gagal menerima bantuan dan tidak dikategorikan sebagai nelayan, sekali gus tidak layak mendapat bantuan kerajaan sedangkan mereka selayaknya sebagai penerima bantuan.

"Justeru itu, perlunya ada pendekatan sebaiknya diambil oleh agensi terbabit selain   kaedah yang lebih mudah memandangkan kebanyakan mereka memang nelayan sepenuh masa walaupun lesen vesel masih dalam proses atau menunggu kelulusan.

"Jika penilaian dibuat atas faktor tiada lesen atau belum siap, ini tidak adil sedangkan nelayan darat tidak memerlukan lesen untuk diberikan bantuan," katanya semasa sesi  randau bersama-sama Jabatan Pertanian Bahagian Betong di Dewan al-Amin, dekat sini.

Untuk rekod, sebanyak 235 nelayan di Beting Maro telah menerima  Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan(BIPPN) masing-masing, manakala 90 lagi akan diagihkan dalam masa terdekat.

Sementara bagi Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) melibatkan 764 penerima.


Next Post Previous Post