Projek Rakyat Sarawak runtuh?

MIRI— Kejadian tanah runtuh di di Jalan Beluru - Lapok, berhampiran simpang menuju ke Ulu Tinjar tiada kaitan dengan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil.

Beliau mengulas kejadian tanah runtuh pada malam Isnin yang menyebabkan papan tanda tertera Projek Rakyat kerajaan Sarawak di kawasan itu menyembah bumi.

“Projek ini tiada kaitan dengan tanah runtuh. Ia adalah projek bekalan elektrik luar bandar (RES) yang sedang giat dilaksanakan di jalan lain persimpangan ke Ulu Tinjar,” katanya yang juga Menteri Muda I Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya di kawasan Ulu Tinjar, Lapok diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan sebahagian jalan di daerah itu runtuh.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu kerja-kerja baikpulih di Jalan Ulu Tinjar sedang berjalan lancar.

Katanya, kerja-kerja telah bermula semenjak dua minggu lepas, dan kini jentera sudah sampai di kawasan simpang Long Jegan. 

Menurut Penguang, akibat cuaca yang tidak mengizinkan dan jentera besar tidak dapat masuk, kerja-kerja tersebut berjalan agak perlahan. 

“Saya mohon supaya semua berhati-hati ketika memandu dan sila beri kerjasama kepada kerja-kerja yang sedang dijalankan.”

“Seperti yang saya pernah jelaskan sebelum ini, ini hanyalah penyelesaian jangka masa pendek bagi memastikan keselamatan pengguna jalan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Next Post Previous Post