Projek Lima Bulatan Kota Samarahan sakit

SAMARAHAN: Projek Naik Taraf Lima Bulatan di Jalan Samarahan- Kuching Expressway telah diklasifikasikan sebagai salah satu projek 'sakit' yang lewat pembinaan serta gagal siap mengikut jadual di negeri ini.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Hamzah Brahim dalam sidang media Majlis Simbolik Serah Kunci Medan Selera Unigarden di sini, malam Sabtu.


Menurut beliau, projek berkenaan seharusnya dapat disiapkan pada 14 Januari lalu mengikut jadual asal namun, sehingga ke hari ini projek tersebut masih lagi tergendala.

"Saya dimaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam proses memberi peringatan terakhir kepada pihak kontraktor. Justeru saya yakin dan percaya mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.


Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan itu lagi, beliau telah mengadakan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat termasuk Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MKPS), JKR, dan lain-lain berhubung isu itu baru-baru ini.

Hasil daripada perbincangan tersebut katanya, pihak JKR dan kontraktor telah melihat benda ini sebagai isu yang perlu diambil serius.

-Tamat-
Next Post Previous Post