Polis trafik kawal aliran trafik Expressway


KOTA SAMARAHAN: Beberapa langkah sementara telah diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway di sini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan JKR hari ini, antara langkah yang telah diambil adalah Penyedia Perkhidmatan telah mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan jalan di sepanjang laluan itu.

"Notice of Default telah dikeluarkan secara rasmi kepada kontraktor pada 13 Januari 2022 dan ketika ini, Penyedia Perkhidmatan bekerja sepanjang masa dan memantau keadaan jalan bagi memastikan kerja-kerja menampal lubang jalan dilakukan segera," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan JKR menjelaskan disebabkan keadaan cuaca yang buruk, lubang-lubang jalan yang telah ditampal tidak tahan lama.
Bagi menyelesaikan masalah itu, permukaan jalan diperkemaskan dengan lapisan premix yang baharu sekali gus dapat memperbaiki keadaan jalan.

Sementara itu, anggota polis trafik juga akan ditempatkan di lima bulatan di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway untuk membantu mengawal aliran trafik.
"Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak dalam usaha mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menempatkan pegawainya di lima bulatan berkenaan.

"Ia bertujuan membantu mengawal aliran trafik sebagai langkah sementara sehingga kerja-kerja menaik taraf lima bulatan tersebut siap," katanya.
Dalam pada itu, JKR memaklumkan bahawa kerja menaik taraf lima bulatan tersebut tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual asal dan mengalami kelewatan penyiapan projek-projek.

Jelas kenyataan itu, kerja-kerja menaik taraf lima bulatan itu bermula 15 Oktober tahun lepas dan sepatutnya dapat disiapkan pada 14 Januari tahun ini.

Sehubungan itu, JKR telah mengadakan beberapa mesyuarat dalam usaha mencari penyelesaian bagaimanapun projek-projek berkenaan masih tidak dapat disiapkan mengikut jadual.


Next Post Previous Post