PM jumpa Zii Jia
KUALA LUMPUR: Kemelut yang melanda pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak minggu lalu hampir selesai.
Perkembangan terbaharu ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri dalam hantaran di Facebook rasminya petang tadi.
“Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia, dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” kata beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi BAM dan Zia.
Pada pertemuan di Perdana Putra pada tengah hari tadi, BAM diwakili Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Timbalan Presiden 1 Datuk V. Subramaniam and Timbalan Presiden 2 Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah pemain perseorangan wanita negara dan bekas juara dunia remaja Goh Jin Wei.
Jumaat lepas, BAM mengumumkan bahawa badan induk itu tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari, selepas pemain ranking ketujuh dunia itu menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari.
Namun Selasa lepas, Zii Jia diberi lampu hijau untuk beraksi sebagai pemain profesional, selepas menerima rayuan dan mengadakan perbincangan dengan pemain itu.