Pian Cecupak meninggal dunia

KUALA LUMPUR— Pelawak terkenal Pian Cecupak meninggal dunia dipercayai akibat serang jantung kira-kira jam 11 malam Rabu, di kediaman ibunya di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul di sini.

Menurut adik Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Raman (gambar), 52, iaitu Hasenah, Allahyarham ditemukan jatuh di dalam bilik air oleh ibunya.

Hasenah berkata, arwah sememangnya mempunyai masalah jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan sahaja, seperti dipetik Mstar.

“Kemungkinan besar dia meninggal dunia akibat serangan jantung. Arwah hanya makan ubat dan dia kerap mengadu sakit dada,” katanya.

Pada 2018, Allahyarham dilaporkan dinasihatkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan kerana masalah jantung yang dihadapinya amat serius. 

Hasenah menambah, jenazah akan kebumikan sebelum solat zuhur esok.

Sementara itu, pemergian arwah turut dikongsi anak saudaranya Syuhada Daud di laman Facebooknya sebentar tadi.

“Kehilangan sebuah permata berharga dalam keluarga. Penghibur kami sekeluarga. Tenanglah pakcik, doakan moga arwah ditempatkan dalam golongan beriman dan beramal soleh.

Tugasmu di dunia sudah selesai, selamat pulang ke negeri abadi. Kami pasti merindui jenakamu, kami pasti menyusul,” katanya.
Next Post Previous Post