PH dan Kerajaan setuju RUU Anti Lompat Parti

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan serta dimuktamadkan pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan semalam.

"Ia juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin pindaan RUU berkenaan dipercepatkan," katanya.

Sehubungan itu katanya, untuk mendapatkan pandangan semua pihak, Jawatankuasa Teknikal berunsur bipartisan ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pemandu Transformasi Dan Kestabilan Politik.

Jawatankuasa itu katanya akan dianggotai lapan wakil masing-masing empat daripada pihak kerajaan dan PH.

"Jawatankuasa Teknikal ini akan bertemu untuk memperincikan perkara dasar dan kerangka perundangan dicadangkan pada minggu depan.

"Ini merupakan komitmen kedua-dua pihak dalam memastikan pelbagai perkara yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 Sept 2021 dilaksanakan," ujarnya.


Next Post Previous Post