RM48 bilion bangunkan Sarawak, Uggah

KUCHING: Sarawak perlu mencari mekanisme terbaik dalam sistem tender bagi melantik kontraktor yang cekap untuk melaksanakan projek infrastruktur di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

Uggah berkata, sejumlah RM48 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat dan negeri untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur di Sarawak.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg  mahu Pejabat Kewangan Negeri mencari mekanisme terbaik untuk sistem tender dalam melantik kontraktor bagi melaksanakan projek infrastruktur di Sarawak.”

“Ini penting bagi setiap projek itu dilaksanakan dengan cekap mengikut tempoh telah ditetapkan,” katanya pada majlis simbolik Serah Terima Tugas Menteri dan Menteri-Menteri Muda Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) di sini, pada Rabu.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berharap semua agensi di bawah MIPD  bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menyiapkan semua projek pembangunan.

“Jika peruntukan tidak dibelanja atau projek tertangguh, Sarawak tidak dapat mencapai objektif pertumbuhan ekonominya. Ketua Menteri kita amat menaruh harapan bahawa Sarawak boleh mencatatkan pertumbuhan lapan peratus setiap tahun selepas 2030,” katanya.

Tambah Uggah, rakyat telah memberikan sokongan kuat kepada Gabungan Parti Sarawak 9GPS) dalam pilihan raya negeri baru ini.

“Sudah tentu mereka pasti mempunyai harapan yang sangat tinggi untuk kerajaan menunaikan semua janji pilihan raya."

"Apabila kita boleh menggunakan sepenuhnya semua peruntukan yang diberikan, kita juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kita,” kata Uggah.

Beliau turut mengingatkan pegawai agensi kementeriannya bahawa rakyat serta kerajaan menaruh harapan tinggi kepada mereka dalam melaksanakan dengan jayanya semua projek yang telah diluluskan.

Gambar menunjukkan Uggah menerima dokumen serah terima tugas daripada Julaihi, kelihatan sama Mejang (kanan) dan Aidel.
Next Post Previous Post