Perang melawan COVID-19, apa sumbangan Oscar Ling?
SIBU— Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee membidas Oscar Ling selepas Ahli Parlimen Sibu itu mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri membelanjakan dana RM5.3 billion untuk COVID-19.
Dr Annuar berkata, Ling seolah-olah baru bangun dari tidur yang nyenyak menyebabkan dia tidak peka perkembangan semasa.
“Kalau Ling benar-benar mahu tahu, penduduk di Sibu pun mahu tahu keberadaannya semasa kes Covid-19 sedang melonjak tempoh hari. Apa sumbangan Ling kepada mereka?" soalnya.
Ling baru-baru ini dalam kenyataan memberitahu kebanyakan dana yang dibelanjakan untuk barisan hadapan adalah dari kerajaan persekutuan.
Katanya, rakyat berhak tahu bagaimana dana itu dibelanjakan secara terperinci, justeru kerajaan Sarawak perlu mengambil pendekatan telus.
Ling turut mempersoalkan penubuhan bangunan separuh kekal di kawasan parkir baru Hospital Sibu yang memuatkan 80 pesakit teruk, yang menurut beliau inisiatif itu datang pada saat-saat akhir ketika kes sudah menurun.
Dakwanya, bangunan itu menyebabkan kawasan parkir semakin kecil menyebabkan kesesakan teruk.
Dr Annuar dalam maklum balasnya berkata, Ling seorang ahli parlimen yang jahil kerana bangunan sementara itu menyediakan 100 katil bukan 80 seperti didakwanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menambah, adalah tidak benar bangunan sementara itu dibina pada saat-saat akhir bukan semasa kes COVID-19 melonjak.
“Semasa kes melonjak pada September tahun lepas, kita sudah mendapat kelulusan untuk membina bangunan hospita separuh kekal. Pada masa yang sama kita menggunakan hospital medan yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).”
“Hospital medan tersebut sudah ditutup kerana kes sudah menurun. Manakala bangunan hospital separuh kekal belum digunakan, bukan kurang digunakan,” katanya.
Dalam situasi ini, Dr Annuar berkata kemudahan atau bangunan lebih di hospital tidak harus dianggap sebagai satu pembaziran.
“Ia menunjukkan kerajaan mempunyai pelan kontigensi dan paling penting, kita belajar dari pengalaman lalu yang sukar.”
“Kita bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk. Tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku. Malah Kementerian Kesihatan Malaysia mengisytiharkan Malaysia menghadapi gelombang Omicron, dengan kes dijangka melonjak,” katanya.
Namun beliau bersetuju dengan Ling bangunan tersebut menyebabkan ruangan kawasan parkir berkurangan.
“Namun untuk jangka masa panjang, terdapat keperluan untuk menambah kemudahan parkir walaupun tanpa bangunan tersebut,” katanya.