Peralihan ke Fasa Endemik ditangguh sementara

Foto MINDEF
TAWAU: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu fasa ‘Peralihan ke Endemik’ akan diumumkan seminggu dua lagi.

Beliau berkata, pengumuman itu ditangguhkan berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron, selain kesan daripada individu yang kembali daripada luar negara, khususnya yang menunaikan umrah di Arab Saudi serta bencana banjir baru-baru ini.

“Langkah itu sepatutnya dibuat pada minggu pertama bulan ini. Kita kena tunggu satu atau dua minggu lagi,” kata Hishamuddin dalam sidang media seperti dilaporkan dalam Berita Harian hari ini.

Penangguhan itu juga perlu mengambil kira garis panduan yang perlu dimaklumkan kepada orang ramai.

Sebagai contoh, prosedur operasi standard (SOP) yang dikurangkan kepada satu sahaja iaitu 'Self Testing Trace" yang beliau umumkan sebelum ini.

Beliau memberitahu, kerajaan pada bila-bila masa bersedia membuat pengumuman fasa 'Peralihan ke Endemik' kerana setiap negeri masing-masing sudah memasuki fasa ke-4.

Mengenai kelewatan pengumuman ke fasa endemik itu, Hishamuddin berkata kerajaan mengambil kira situasi di banyak negara yang ketika ini amat membimbangkan.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, pada dua minggu lalu angka jangkitan wabak COVID-19 mencecah satu juta kes dalam tempoh sehari dan kini dilaporkan memncecah sehingga 500,000 kes sehari.

Katanya, walaupun varian Omicron kurang kesan jangkitan berbanding varian lain, namun penularan secara besar-besaran akan menjejaskan kesihatan rakyat, selain memberi tekanan kepada penggunaan katil-katil Unit Rawatan Rapi (, ICU) di hospital.

Justeru kerajaan terpaksa mengambil keputusan tidak popular termasuk membuka sempadan secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Keutamaan kita adalah kesihatan dan keselamatan orang ramai,” katanya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) menghadiri taklimat operasi semasa lawatan ke Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB 2) Kem Kukusan hari ini. 
Next Post Previous Post