Penang Smart Parking pitam sekejap


GEORGE TOWN – Aplikasi Penang Smart Parking (PSP) hari ini mengalami gangguan teknikal menyebabkan ribuan pengguna terjejas tidak dapat membayar parkir.

Gangguan sejak awal pagi tadi termasuk baki eWallet yang dipaparkan ‘RM4.40’ berbeza dengan jumlah baki sebenar, seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette.

Sementara itu, PSP dalam hantaran di Facebook mengesahkan aplikasi itu menghadapi beberapa masalah teknikal dan pihaknya sedang bertungkus-lumus menyelesaikan secepat mungkin.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha keras bagi menyelesaikan perkara ini.”

“Kami meminta pengguna supaya tidak bimbang berhubung baki eWallet yang dipapar ‘RM4.40’ dalam aplikasi kerana baki masih kekal dan utuh,” katanya.

Terdahulu, Facebook PSP dibanjiri aduan pengguna yang mendakwa aplikasi mereka menunjukkan baki RM4.40 sehingga menyebabkan sukar membuat pembayaran parkir dan bimbang dikenakan tindakan saman.

Terbaharu, PSP memberitahu kerja pemulihan teknikal baki dalam eWallet pelanggan akan dimulakan mulai jam 6 petang ini dan dijangka siap pada jam 6 pagi keesokkan hari.

“Semua fungsi lain dalam aplikasi PSP masih beroperasi seperti biasa,” kata PSP.

PSP adalah inisiatif kerajaan negeri terhadap sistem parkir berdasarkan aplikasi telefon pintar di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang diperkenalkan sejak 2019.
Next Post Previous Post