Pembukaan Jejambat Pujut Interchange ditunda hingga Mac
Lee bersama kontraktor dan JKR meninjau Jejambat Pujut Interchange di Permyjaya yang dibuka pada Mac - Gambar FB Lee |
MIRI — Masalah kesesakan lalu lintas yang dialami oleh pengguna jalan raya di sekitar Permyjaya dan Vista Perdana di sini dijangka berakhir apabila Jejambat Pujut Interchange di Permyjaya dibuka pada Mac ini.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut sepatutnya dibuka sebelum Tahun Baharu Cina (TBC) namun dilanjutkan sehingga Mac memandangkan kerja-kerja pembinaan belum siap sepenuhnya.
“Semasa lawatan pada Disember, kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan jejambat ini akan siap sebelum TBC.”
“Namun selepas sebulan saya dapati ia belum boleh dibuka memandangkan jejambat ini perlu diteliti aspek keselamatan,” katanya semasa meninjau Jejambat Pujut.
Hadir sama Penolong Pengurus JKR Zon Utara Michael Ting.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, beliau kerap menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah kesesakan terutama pada waktu puncak.
Katanya, setakat ini jejambat tersebut sudah siap sebanyak 90 peratus dan kini kerja-kerja akhir termasuk menurap jalan di bawah jejambat.
“Apabila siap nanti, jalan ini akan mempunyai empat laluan. Pada masa kini pengguna jalan raya yang pergi ke Vista Perdana perlu melakukan pusingan U kira-kira 1.5 kilometer di lampu trafik.”
“Saya turut menerima cadangan agar dibina sebuah lagi lampu trafik di antara pusingan U, setakat ini JKR pada dasarnya telah bersetuju,” kata Lee.
Dalam pada itu Lee berkata JKR dan kontraktor sudah melakukan yang terbaik untuk menyiapkan projek ini.
“Justeru saya berharap penduduk bersabar,” katanya sambil menambah faktor cuaca turut menyebabkan berlakunya kelewatan projek itu.
Pembinaan Jejambat Pujut Interchange Pan Borneo ini bermula pada 2017 namun tertangguh beberapa kali berikutan beberapa faktor antaranya perubahan kerajaan di persekutuan.