Waspada di tempat sesak

Pasar Malam Belia Metrocity, Viva City Megamall dan Plaza Merdeka dalam senarai lokasi yang pernah dikunjungi kes positif yang dilaporkan.

KUCHING: Pasar Malam Belia Metrocity antara tiga lokasi di bandar raya ini yang dilaporkan pernah dikunjungi kes positif COVID-19, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Jawatankuasa itu menerusi kenyataan harian COVID-19 hari ini memberitahu, selain pasar malam tersebut, Pandora Vivacity Megamall dan Plaza Merdeka juga dalam senarai lokasi yang pernah dikunjungi kes positif yang dilaporkan.

"Pada hari ini sebanyak 11 kes positif baharu dilaporkan di Sarawak di mana tujuh kes adalah kategori satu (tiada gejala) dan empat kes kategori dua (gejala ringan)," katanya.

Jelasnya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini meningkat kepada 252,762 kes. 

Tambahnya, daripada jumlah kes positif baharu itu, Kuching merekodkan enam kes, manakala Miri dan Bau masing-masing dua kes dan Kapit satu kes.

Selain itu, JPBNS memaklumkan tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini.

"Tiada kluster baharu dan tiada kluster yang masih aktif direkodkan," ujarnya.

Sementara itu, Polis mengeluarkan 16 kompaun kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya lagi, daripada jumlah itu, Kuching 10 kompaun dan Sibu enam kompaun menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan berjumlah 13,062.

Antara kesalahan itu, gagal mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis (7), tiada penjarakan fizikal (6) dan tidak memakai pelitup muka (3).


Next Post Previous Post