Netizen kecam, Pan Borneo menjawab
Gambar seorang pelajar yang terpaksa memanjat tembok Pan Borneo untuk pergi sekolahnya di Tebobon |
Pemilik akaun Facebook, Redzuan Abu Samah yang berkongsi gambar itu memberitahu, pelajar yang tinggal di Taman Putra Jaya, pekan Telipok itu terpaksa berbuat demikian untuk ke sekolah di Tebobon.
“Pelajar ini membawa kerusi untuk memanjat tembok pembahagi jalan Pan Borneo disebabkan pengangkutan bas sekolah ke Tebobon tidak lagi beroperasi kerana terlalu jauh untuk membuat pusingan,”katanya dalam hantaran yang turut dikongsikan lebih 4,000 pengguna Facebook yang lain semalam.
Beliau berkata, punca utama masalah ini ialah lampu trafik di simpang keluar masuk Taman Putra Jaya sudah dihapuskan kontraktor Pan Borneo.
“Ini menyebabkan penduduk yang tinggal di taman perumahan itu menanggung akibatnya.”
Redzuan turut mempersoalkan langkah kerajaan melaksanakan pembangunan ini tanpa memikirkan kesusahan rakyat.
“Wajarkah pembangunan sebegini tanpa memikirkan kesusahan rakyat?” soalnya.
Sementara itu Sektor Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam ruangan komen memberitahu, pihaknya mengambil maklum kerisauan penduduk Taman Putrajaya mengenai tembok jalan yang menghalang pejalan kaki dan pelajar untuk ke seberang jalan.
“Sehubungan itu, jejantas untuk pejalan kaki akan dibina dalam tempoh pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini,” katanya.
Ketika ini, laluan pejalan kaki sementara dengan lampu isyarat beserta kemudahan push stop button telah disediakan sejak akhir Disember 2021 bagi membolehkan pejalan kaki menyeberang jalan.
Laluan ini terletak 80 meter dari simpang keluar Taman Putrajaya.
Sehubungan itu, pejalan kaki dinasihatkan untuk menggunakan laluan pejalan kaki ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.