Menteri tanya mana bank yang dijanjikan?
DEBAK: "Kita mahu agensi berkaitan mengotakan janji mereka untuk menyediakan kemudahan perbankan bagi keperluan rakyat dan menganggap kemudahan yang disediakan sebagai satu keutamaan yang harus disegerakan," kata ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam.
Menurutnya keperluan perbankan seperti yang dijanjikan demi kemudahan masyarakat di sekitar Debak masih belum disediakan dan sehingga kini terus menagih janji agensi berkaitan.
Tindakan beberapa agensi perbankan yang seakan sengaja melupakan janji bagi menyediakan kemudahan perbankan di Pekan Debak amat mengecewakan apabila permohonannya untuk pembukaan cawangan bank mahupun kiosk sejak beberapa tahun lalu, belum ada tindakan sehingga kini.
"Kita masih menagih janji kerana ianya merupakan keperluan rakyat.
"Saya merasakan nadi rakyat yang merasa amat kecewa dengan tindakan pihak penyedia perkhidmatan perbankan sama ada milik kerajaan mahupun komersial yang masih berdiam diri.
"Saya masih berharap agar agensi berkaitan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat atau Bank Agro tidak semata-mata memikirkan keuntungan, namun meletakkan keperluan rakyat sebagai keutamaan.
"Saya percaya dan yakin dengan pembangunan dan perkembangan pesat ekonomi rakyat disekitarnya pihak bank mampu menjana keuntungan berikutan kadar pertumbuhan penduduk yang berlipat kali ganda juga meningkatkan kuasa beli dan penggunaan bank," ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Kesejahteraan Komuniti menambah banyak perubahan yang telah berlaku dengan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan.
"Begitu juga sektor ekonomi yang semakin positif dan merancakkan perubahan yang ketara dengan keperluan penggunaan bank bagi memudahkan urusan harian rakyat.
"Oleh itu saya merayu untuk pihak BSN, Bank Rakyat atau Bank Agro dapat melunaskan janji untuk penduduk di sini menikmati kemudahan perbankan dtempat sendiri," ujarnya