Menteri siasat kes makanan RMT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyiasat berhubung dakwaan murid yang hanya diberikan makan nasi dan kuah di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu yang tular di media sosial.
“Saya dimaklumkan malam tadi mengenai satu hantaran di Facebook yang tular mengenai gambar nasi putih dan kuah yang didakwa sebagai makanan RMT.”
“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah mengarahkan suoaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat,” katanya di Facebook hari ini.
Tegasnya, KPM tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid.
Sementara itu, KPM telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah.
Makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook berkongsi gambar makanan yang didakwa dibawa pulang cucu saudara dari sekolah dan memberitahu ia makanan RMT.
“Sadis betul. Makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah? Adakah peruntukan RMT terlalu sedikit sampai pengusaha kantin beri makanan begini kepada budak-budak?”, tulisnya.
“Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT tidak sedap, kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan. Tapi, ini makanan untuk siapa? Ayam?”, soalnya lagi.