Menteri Kanan Pendidikan disekolahkan rakyat
KUALA LUMPUR : Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin dibelasah netizen susulan kejadian murid Tahun 2 di SK Long Bemang, Baram, yang terjatuh daripada beranda sekolah Jumaat lalu.
Sebelum itu, beliau memuat naik hantaran di Facebook insiden tersebut, dikongsi 210 kali, mendapat 382 komen dan diberi tanda ‘like’ 2,500 sejak malam tadi.
Ramai netizen menyindir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya menunggu kemalangan berlaku barulah bertindak membaiki sekolah yang sudah reput dan usang.
Rata-rata mereka melempiaskan perasaan marah dengan KPM yang seolah-olah tidak tahu masalah sekolah daif di pedalaman.
Penguna Facebook, Aidil Azeman berkata, sekiranya murid tersebut tidak jatuh, kementerian tidak akan berbuat apa-apa.
“Kalau murid tu tak jatuh, haram depa nak amik tau.. tindakan tunggu nak ada mangsa. Macam biasa dah jadi baru buat semakan tindakan entah bila,” katanya.
Seorang lagi netizen, Zu Dawson Nurbadiz berkata, kementerian tidak perlu menunggu murid jatuh, sepatutnya sudah lama menyelesaikan masalah sekolah-sekolah usang di negara ini.
“Tak perlu tunggu ada murid jatuh, sepatutnya lama dah KPM cakna. Sekolah ini ada dalam senarai sekolah-sekolah daif. Bila ada kes baru nak buka tender,” katanya.
Bagi Japillah Pila, alangkah baik jika KPM tidak mengambil sikap menunggu dan hanya mengambil tindakan setiap kali berlaku kemalangan.
“Bangunan kayu sekolah ini dibina dari zaman awal kemerdekaan lagi dan memang patut diganti,” katanya.
Syukor Abdullah berkata, banyak lagi sekolah yang uzur dan perlu diperbaiki dengan segera.
"Sekarang kandungan pelajaran kita nak yang abad terkini, tapi prasarana ketinggalan."
"Ibarat nak masukkan software terkini ke dalam komputer lama. Tak jadi YB, tak support," katanya.
Terdahulu, Dr Razdi memberitahu proses proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang akan dibuat selewat-lewatnya bulan Februari ini.
“KPM akan memastikan pelaksanaan projek penggantian ini berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin.”
“Ini bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat untuk warga sekolah dapat disediakan,” katanya.
Tambah beliau, sebagai tindakan segera, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor.
Kerja pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap, katanya.
Dr Razdi menambah, SK Long Bemang memang telah tersenarai dalam projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di sekolah KPM.
Ujarnya, KPM sentiasa berusaha untuk menyediakan infrastruktur sekolah yang selesa dan selamat demi kelangsungan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.
Terdahulu media melaporkan, murid tersebut mengalami luka kecil di kepala, bahu dan tangan kanan selepas terjatuh dari beranda.
“Saya doakan agar adik Aliccia terus diberikan kesihatan yang baik dan dapat kembali ke sekolah,” katanya.