Mazlan Bujang keluar BERSATU, sokong BN
JOHOR BAHRU— Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang hari ini mengumumkan keluar dari parti dan menyatakan pendirian sokong Hasni Mohammed dari UMNO sebagai menteri besar.
Beliau yang meletak jawatan sebagai ketua bahagian memberitahu tindakan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha BERSATU Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai bahagian Tebrau.
“Saya juga tidak menyertai mana-mana parti, tetapi menyokong Barisan Nasional (BN). Saya menyokong Datuk Hasni Mohamad untuk dilantik semula sebagai menteri besar bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Johor,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keputusan itu diambil berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kesilapan memilih menteri besar sebelum ini.
“Berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar mentadbir Johor dengan baik, kita perlukan pemimpin yang lebih baik. BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) Johor telah gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir Johor,” katanya.
Beliau menyeru semua ahli dan penyokong BERSATU menyokong kepimpinan Hasni dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Sebelum Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan, Mazlan adalah Adun Puteri Wangsa. Mazlan sebelum ini juga merupakan ketua Bersatu Tebrau.
Mazlan dilantik sebagai Ketua Bersatu Johor pada 2019. Tujuh belas bulan kemudian, dia mengosongkan jawatan itu yang diambil alih oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.