Macau Scam: Suri rumah rugi RM87,240 ditipu 'Mastura'


SIBU: Seorang suri rumah mengalami kerugian RM87, 240 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar dari syarikat insurans.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Dr Collin Babat berkata, wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu menerima panggilan daripada seorang individu bernama 'Mastura' (suspek) pada 30 November 2021 sekitar jam 11 pagi bertempat di 51 Kampung Ismail Igan.

"Individu terbabit mengatakan nama mangsa telah diguna pakai untuk membuat tuntutan insurans berjumlah RM76,800 dalam masa 3 bulan.

"Selepas itu 'Mastura' menyuruh mangsa untuk membuat aduan di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan bercakap dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai 'Sarjan Zulkifli Zubir' (dari Jabatan Siasatan Jenayah).

"Kemudian mangsa diminta untuk berurusan dengan 'Mastura' untuk urusan seterusnya bagi mengelakkan waran tangkap dikeluarkan dan akaun bank dibekukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas itu, tambahnya, 'Mastura' menyuruh mangsa membuat pengakuan audio bagi memberikan kerjasama dan menangguhkan waran tangkap beserta mengelakkan pembekuan akaun mangsa.

Jelas Collin lagi, kemudian 'Mastura' menasihatkan mangsa untuk membuka akaun bank bertujuan untuk proses ikat jamin sekiranya pendakwaan dijalankan ke atas mangsa.

"Setelah mangsa membuka akaun berkenaan di Cawangan Sibu, mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat akaun bank dan akaun Tabung Haji dan membuat beberapa transaksi ke akaun bank milik mangsa.

"Mangsa telah membuat lima transaksi kemasukan wang ke akaun banknya itu iaitu dua transaksi pada 13 Disember 2021 sebanyak RM10,000 dan RM15,000, pada 24 Januari RM15,000, 4 Januari RM16,000 dan 6 Januari RM5,000," ujarnya.

Setelah itu, katanya, mangsa dihubungi oleh seorang perempuan bernama 'Aisyah Abdullah' untuk menggantikan 'Mastura' kerana 'Mastura' sudah ditukarkan ke tempat lain.

Menurut beliau, mangsa berasa curiga dan membuat semakan baki akaun bank (RM61,000) dan akaun Tabung Haji (RM26,138), mendapati wang telah hilang dari akaun berkenaan.

"Mangsa merasa ditipu dan anggaran kerugian RM87,240. Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan polis selanjutnya," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan tipu helah suspek dengan menyamar sebagai pegawai polis, peguam, wakil insurans dan sebagainya.

"Jangan melayan panggilan telefon yang mencurigakan, jangan beri butiran peribadi, nombor akaun bank dan terus hentikan perbualan telefon," tegasnya.

Katanya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan.
Next Post Previous Post