Lelaki maut selepas suntik besarkan bontot

IPOH — Seorang lelaki berperwatakan lembut yang baru selesai mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung ditemukan meninggal dunia di bilik sebuah hotel di Teluk Intan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu datang ke hotel berkenaan bersama rakannya pada 10 pagi yang sama bagi mendapatkan suntikan daripada seorang wanita dari Melaka dengan kos sebanyak RM500.
“Pada jam kira-kira 12 tengah hari selepas selesai suntikan, mangsa meminta izin untuk berehat dalam bilik kerana penat.”

“Namun pada jam 3 petang, mangsa disedari kawannya tidak bernafas dalam keadaan terbaring di katil.

Menurutnya pihak polis segera ke hotel terbabit sebaik dimaklumkan kejadian itu dan menemukan si mati terbaring di atas katil dengan memakai baju dan tuala serta bertutup dengan selimut.

Ahmad Adnan berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir bersama ambulans dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Bagaimanapun katanya, setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

"Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan paru-paru bengkak dan berair. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah," katanya.
Next Post Previous Post