Lelaki Indonesia cedera jatuh parit
BINTULU: Seorang lelaki warga Indonesia dijumpai tertiarap dalam parit selepas dipercayai terjatuh yang berlaku di belakang Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 40-an itu dijumpai orang awam yang kebetulan terserempak melihat mangsa semasa guna laluan yang sama untuk ke kebun.
"Bomba terima panggilan sekitar jam 4 petang dan setiba dilokasi, mendapati mangsa masih tertiarap di atas permukaan tanah bawah parit dengan anggaran kedalaman lebih kurang tiga kaki.
"Mangsa mengadu telah lama tertiarap serta memaklumkan telah mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan kebas pada anggota kaki kanan dan tangan kanan menyebabkan tidak mampu berdiri sendiri untuk berjalan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, operasi menyelamat dan mengalihkan mangsa oleh anggota Bomba turut dibantu oleh pihak ambulans yang berada di lokasi yang memberi rawatan awal seterusnya dibawa ke Hospital.
"Kerja-kerja penyelamatan dijalankan menggunakan peralatan khas pengusung membawa terus naik sehingga mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.
Operasi ditamatkan pada jam 5.16 petang.