Lee Zii Jia dapat restu BAM
KUALA LUMPUR — Pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.
Difahamkan, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan yang didakwa menjadi faktor utama dia mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Memetik Berita Harian, BAM dilaporkan memberikan tawaran gaji sebanyak RM1 juta setahun kepada Zii Jia, dalam usaha memujuknya untuk tidak meninggalkan badan induk itu.
Tawaran balas berkenaan dibuat ketika sesi rundingan bersama pemain berusia 23 tahun itu selepas dia menghantar surat peletakan jawatannya pada 11 Januari lalu bagi bergerak secara profesional.
“Pertama kali dalam sejarah BAM mengemukakan tawaran yang cukup lumayan itu kepada pemain di bawah naungannya.”
“Malah Datuk Lee Chong Wei (bekas jaguh perseorangan lelaki negara) yang menyumbang pelbagai kejayaan kepada negara ketika bergelar pemain pun tidak pernah mendapat tawaran sedemikian,” kata BAM.
Menurut persatuan itu, tawaran ini membuktikan betapa mereka cukup sayang kepada Zii Jia dan menghargai bakat yang dimilikinya.
“Zii Jia adalah aset penting kepada BAM. Bagaimanapun, tawaran itu masih tidak setanding dengan apa yang ditawarkan kepada Zii Jia sekiranya dia bergerak secara profesional. “
“BAM sebagai persatuan turut mempunyai kekangan dan tidak boleh memberi tawaran di luar kemampuan tetapi sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan Zii Jia kekal, namun dia tetap mahu keluar daripada BAM.”
Jika juara Seluruh England 2021 itu menerima tawaran BAM, dia akan dibayar gaji sebanyak RM83,333 sebulan.
Bayaran gaji itu tidak termasuk elaun lain yang diberikan BAM kepada barisan pemainnya selain hadiah wang kemenangan jika muncul juara mana-mana kejohanan 100 peratus menjadi milik pemain bersama tambahan bonus yang diberikan badan induk itu.
Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.
Sementara itu, Lee Zii Jia dalam satu hantaran di Facebook mengesahkan dia sudah mendapat restu BAM untuk menjadi pemain professional.
Bintang badminton negara itu membuat hantaran di Media Sosial selepas membuat pertemuan dengan presiden BAM bersama ibu dan bapanya.
Lee Jii Zia turut berkongsi gambar kenang-kenangan usai pertemuan itu.
Berita Harian turut melaporkan kemelut yang melanda antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dianggap selesai selepas kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian yang akan diumumkan, minggu depan.
Timbalan Presiden 2 BAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang BAM, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika ditemui berkata, pertemuan dengan Zii Jia adalah selepas pemain ranking ketujuh dunia itu mengemukakan surat rayuan semalam.
"Kedua-dua pihak sudah sampai satu kesudahan yang akan diumumkan minggu depan, tapi yang pasti ia satu kesudahan memuaskan hati kedua-dua pihak dan satu kesudahan yang bagus untuk negara dan juga BAM.
"Cumanya ialah kami akan membawa hasil keputusan hari ini kepada ahli majlis BAM untuk mendapatkan pengesahan rasmi dan kemudian akan membuat pengumuman minggu depan," katanya selepas bertemu Zii Jia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.